Thursday, 15 December 2011

Safee tak kembali ke Liga-M

SAFEE (kanan) belum memikirkan untuk kembali beraksi dalam Liga-M meskipun ISL kini dilanda kontroversi.


“BELUM tiba masanya Safee kembali beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M).”

Itu respons Zakaria Rahim selaku pengurus kepada penyerang sensasi negara, Mohd. Safee Mohd. Sali ekoran kontroversi yang melanda perjalanan Liga Super Indonesia (ISL).

Menurut Zakaria, belum tiba masanya Safee ‘berpatah balik’ ke saingan Liga-M dengan kadar segera kerana ISL belum diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekali gus mengundang risiko menghalang penyerang kelahiran Kajang, Selangor itu daripada menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Sebagai pemain profesional, katanya, Safee begitu komited memberikan yang terbaik meskipun ketika mengalami kecederaan sepanjang mengharungi ISL setakat ini. Justeru, khabar angin yang mengatakan Safee akan meninggalkan Pelita Jaya semata-mata kerana bimbang tidak dapat beraksi bersama Harimau Malaya sememangnya tidak berasas.

“Tidak, belum tiba masanya (Safee kembali beraksi dalam Liga-M) dalam waktu terdekat.

“Buat masa ini, kontrak Safee bersama Pelita Jaya hanya akan berakhir Januari depan, selain Pelita Jaya juga dikhabarkan mahu melanjutkan kontraknya untuk kekal bersama kelab itu bagi tempoh tiga tahun lagi,” katanya kepada Kosmo!, semalam.

Spekulasi itu mula timbul dalam kalangan pemerhati bola sepak setelah beberapa akhbar tempatan semalam melaporkan tanda tanya mengenai nasib Safee dan pemain-pemain import lain yang dikhabarkan tidak dibenarkan mewakili negara masing-masing gara-gara ISL dilaporkan ‘diharamkan’ oleh FIFA dan AFC.

Ancaman tidak dibenarkan beraksi bagi mewakili pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa itu juga difahamkan membabitkan seluruh pemain tempatan Indonesia.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, hanya Liga Premier Indonesia (IPL) yang berdepan kontroversi pengharaman itu dan bukannya ISL.

Buat masa ini, katanya, isu-isu berkaitan perkara itu masih dibincangkan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) bagi mengenal pasti sebarang perkara berbangkit, jadi sebagai pemain Safee hanya menyerahkan perkara itu kepada pengurusan kelabnya untuk tindakan lanjut.

“Pada masa sama, masih terlalu awal untuk memperkatakan sama ada Safee akan melanjutkan kontraknya bersama Pelita Jaya atau tidak selepas ini, apa yang pasti beliau gembira sepanjang berada di sana termasuk telah dilantik selaku kapten pada saingan musim ini,” katanya.


credit : kosmo

Wednesday, 7 December 2011

Nazmi Faiz Juga Minat Neelofa


Tatkala pemain bola sepak negara, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, 17 mendapat tahu dirinya digosipkan bersama pelakon jelita, Neelofa, figura itu nyata terkejut sambil berfikir panjang akan punca cerita itu boleh tersebar luas di laman maya. 

Bagaimanapun, Nazmi yang agak pemalu orangnya memberitahu portal murai.com.my, bahawa dia meminati Neelofa setelah melihat kekerapan wajah cantik aktres itu menghiasi majalah hiburan tempatan.

Malah, anak keempat daripada lima adik-beradik itu ikhlas mengakui tambah meminati Neelofa sebaik saja menonton lakonan pemenang Dewi Remaja itu.

"Jujur saya katakan, saya memang tidak pernah berjumpa dengan Neelofa. Jadi, kalau saya tak pernah jumpa dengan dia, bagaimana pula saya boleh dikatakan makan malam bersamanya? Terus-terang, saya mendapat tahu diri saya dikaitkan dengan Neelofa daripada kawan saya sendiri yang juga seorang pemain bola sepak.

"Selepas mendapat tahu, saya terus membaca gosip berkenaan. Walaupun saya terkejut, tergamam dan tidak menyangka perkara sebegini boleh berlaku, tapi ada sedikit rasa gembira kerana saya juga adalah peminat Neelofa.

"Buat sementara waktu, saya tidak akan berjumpanya memandangkan saya sibuk dengan latihan dan persiapan untuk perlawanan akan datang. Pun begitu, saya tidak boleh menolak andai kata berpeluang bertemu dengan dia," katanya.

Dalam pada masyarakat rancak mempersoalkan gosip berkenaan, Nazmi turut dikatakan sudah mempunyai pasangan kekasih bernama Nadia Ismael. Ternyata, Nazmi tambah terkejut apabila mendengar nama itu dan terus menegaskan bahawa dirinya masih lagi tidak mempunyai teman istimewa.

"Saya masih lagi muda. Baru saja berusia 17 tahun. Perjalanan saya masih jauh. Saya masih belum ada kekasih lagi. Saya masih lagi solo. Nadia Ismael itu adalah kawan kepada adik saya. Dia memang sangat rapat dengan adik saya. Saya hairan kenapa dia dikatakan kekasih saya.

"Saya cuma anggap Nadia seperti kawan saya saja. Tidak lebih dari itu. Kalau boleh saya mahukan gosip seperti ini dihentikan kerana saya mahu memberikan fokus kepada karier bola sepak saya. Apapun, saya bersyukur setakat ini gosip ini tidak mendatangkan kesusahan dan gangguan dalam hidup saya.

"Sekali lagi, saya mahu menegaskan bahawa setakat ini, saya bukanlah pemain bola sepak yang dikatakan digilai selebriti tempatan. Tiada seorang artis pun cuba datang mendekati saya apatah lagi Neelofa," jelasnya.
Sementara itu, jejaka yang berasal dari Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu turut mengakui banyak 
perubahan berlaku sebaik saja dia pulang dari Sukan Sea 2011 di Indonesia. Pun begitu, dia memberitahu populariti bukanlah suatu perkara yang diidamkannya selama ini.

"Apa yang berlaku sekarang adalah rezeki saya. Saya tidak pandang pada populariti tetapi lebih mengambil berat terhadap karier saya pada masa akan datang. Saya mahu menambahkan fokus saya. Memang benar, hidup saya sudah mula berubah dan ke mana saja saya pergi pasti ada saja peminat bola sepak yang menegur dan mahu bergambar bersama saya.

"Namun, saya tidak menolaknya dan melayan dengan sebaiknya kerana saya tahu tanpa sokongan mereka, saya dan rakan sepasukan tidak akan sampai ke tahap ini. Saya berterima kasih kerana melabelkan saya sebagai seorang hero Malaya.

"Bagi saya, panggilan ini bukan untuk saya seorang saja. Ia lebih sesuai ditujukan kepada seluruh pasukan saya yang sama-sama berjuang di medan pertempuran. Tiada seorang pun yang terkecuali," ujarnya.

Fakta yang anda perlu tahu tentang Nazmi Faiz

1. Sanggup meninggalkan akademik dengan tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana merasakan dirinya lebih menyerlah dalam bidang sukan bola sepak.

2. Akademik masih lagi menjadi tunjang utama dan menganggap ia satu perkara yang boleh dilaksanakan tidak kiralah jika seorang itu sudah meningkat usia.

3. Masih belum ketahui tarikh untuk menduduki SPM kerana segalanya sedang diuruskan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

4. Sejak berusia 6 tahun lagi, Nazmi sudah mula bermain bola sepak dengan memaksa ayahnya untuk bermain bersama.

5. Mempunyai seorang kakak, dua orang abang dan seorang adik.

6. Seluruh keluarganya meminati bola sepak namun dirinya saja yang mempunyai bakat besar dalam bidang ini.


credit : murai.com

Nazmi Faiz Pula Dikaitkan Dengan Neelofa

Sebaik saja pasukan bola sepak negara bawah 23 tahun iaitu Harimau Muda A berjaya meraih ibu emas di temasya Sukan Sea yang berlangsung di Indonesia baru-baru ini, nama pemain-pemain pasukan ini semakin menjadi sebutan ramai.
 
Terutama sekali nama Khairul Fahmi Che Mat atau Apex yang menjadi penjaga gol kebangsaan.

Selain Apex, nama lain yang disebut gadis-gadis adalah Irfan Fazail, Fandi Othman, Syahrul Azwari, Nazmi Faiz, Yong, Izzaq Ramlan, Mahali Jasuli dan Muslim.

Murai Batu dengar, ada diantara mereka yang diundi untuk menjadi calon suami. Wah! Hebat sungguh mereka semua.
 
Bagaimanapun, dari semua nama itu, pemain berusia 17 tahun iaitu Nazmi Faiz ternyata menjadi perhatian kerana telah mencatat satu corak permainan yang bagus walaupun dia belum mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada mendapat perhatian, nama Nazmi tiba-tiba telah dikaitkan dengan gosip seperti mana yang pernah terjadi kepada Apex iaitu dikaitkan dengan pelakon cantik lagi popular.

Mengimbas kembali gosip itu, sewaktu tamat perlawanan Piala Suzuki yang lalu, Apex telah dikaitkan dengan Nora Danish.

Manakala Nazmi pula ketika ini sedang hangat dikaitkan dengan pelakon cantik Neelofa.

Terkesima pula Murai Batu mendengarnya, apatah lagi nama Neelofa dikaitkan dengan Nazmi.

Seakan sama dengan kes Apex yang telah dikaitkan kerana sebaran laman sosial twitter, Nazmi juga tidak jauh bezanya.

Murai Batu masih belum mengetahui puncanya, Tapi menerusi laman sosial Facebook telah menyebarkan gossip bahawa Nazmi ada keluar bersama Neelofa.

Entah bila dan di mana itu Murai Batu kurang pasti. Tapi lebih hebat lagi, apabila Murai Batu dapat tahu bahawa Nazmi dikatakan adalah buah hati Neelofa.

Sungguhpun perkara ini telah tersebar dengan meluas, tapi Murai Batu merasakan ianya sekadar usikan saja.

Apatah lagi Nazmi masih lagi bersekolah dan Neelofa juga masih menuntut di sebuah kolej. Pun begitu, hanya Neelofa dan Nazmi saja yang boleh memberikan jawapan yang pasti.

Apapun, Murai Batu harap, Nazmi boleh terus mempamerkan permainan yang hebat. Tidak kisahlah apa juga orang nak kata, yang penting Nazmi dan kawan-kawannya terus berjaya mengharumkan nama negara.


credit : murai.com