JIKA boleh diberi perumpamaan, kesibukan Safiq mengalahkan menteri! Namun itu adalah pengorbanan yang harus dibuat apabila dia berikrar untuk memikul tanggungjawab mengharumkan nama negara melalui kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional Malaysia.
Menurut anak sulung daripada dua beradik ini, walau tidak mempunyai perlawanan, dia dan anggota pasukan yang lain tetap wajib melakukan rutin latihan pada setiap hari, termasuk pada bulan Ramadan.
"Cuti raya juga hanya dua hari iaitu hari ini dan esok. Kemudian, jadual harian saya menjadi seperti biasa dan seminggu selepas raya, saya sudah mempunyai perlawanan besar iaitu Asia Cup," katanya yang sudah menjadi pemain negara sejak berusia 14 tahun.
Wajib memiliki dua pasang baju Melayu setiap kali Syawal hadir, si penggemar lemang, ketupat, nasi impit dan rendang ini saat ditanya tentang definisi raya memberi satu penjelasan tanpa huraian yang panjang. Aidilfitri bermakna hari kemenangan. Katanya, menang daripada semua segi.
Ketika ditanya tentang ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang jatuh seiring Aidilfitri, dia memberitahu: “Nikmat sebenar merdeka sebenarnya lebih dirasai oleh generasi yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dulu.
"Kita, sebagai generasi baru harus menyambung legasi ini dengan aspirasi yang tinggi terhadap apa yang kita peroleh pada hari ini."
Malah dia sebagai anak muda yang baru menginjak usia 24 tahun menzahirkan patriotisme dengan bertarung bersungguh-sungguh di padang bola. Katanya, dia tidak bertarung untuk diri sendiri, tapi untuk sekurang-kurangnya membuat nama negara harum, biarpun dalam pertarungan adakalanya mereka tewas tetapi itu bukti cinta dia terhadap bumi bernama Malaysia.
No comments:
Post a Comment