NAMPAK 'manja', tetapi garang.
Itu rentak juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor yang dilihat kembali mempamerkan aksi sebenar selepas membenam cabaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 pada aksi Kumpulan D di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Duka kekecewaan setelah tewas tipis 0-1 kepada T-Team pada perlawanan pembuka tirai Piala Malaysia Selasa lalu ternyata berjaya dipadam oleh anak-anak buah K. Devan yang kembali mempamerkan aksi bertenaga, sekali gus menggembirakan penyokong setia Gergasi Merah.
Apa yang pasti, pasukan lawan sudah semestinya tidak senang duduk dengan kebangkitan semula Selangor yang ketika ini begitu dahaga memburu koleksi Piala Malaysia yang ke-33 selepas ketandusan trofi semenjak beberapa tahun lalu.
Begitupun, ketumpulan jentera penyudah di bahagian serangan yang gagal menterjemahkan sekurang-kurangnya 16 peluang terhidang pastinya sedikit meresahkan Devan.
Meskipun berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya terutama di bahagian pertahanan, Devan mengakui masih banyak perkara yang perlu dibaiki bagi kembali mempertajamkan jentera serangan Selangor.
"Saya berpuas hati dengan kemenangan ini terutamanya gandingan mantap Asraruddin Putra Omar dan Nasriq Baharom di bahagian pertahanan yang tenang mengawal asakan penyerang lawan dalam perlawanan itu.
"Namun pada masa sama, ada banyak perkara yang perlu dibaiki terutamanya di bahagian serangan menjelang pertemuan dengan pendahulu Kumpulan D, Kuala Lumpur selepas ini," kata Devan semalam.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua gol Selangor berjaya dijaringkan Fadzli Saari pada minit ke-46 dan 59 hasil hantaran cantik Amirulhadi Zainal dan kapten, Safiq Rahim yang masuk menggantikan Fitri Shazwan Raduwan.
Meskipun kedua-dua pasukan beraksi hambar pada separuh masa pertama, skuad kendalian Devan kembali menemui rentak sebaik babak kedua bermula menerusi beberapa percubaan merbahaya.
Dengan kemenangan itu, Selangor yang berkongsi tiga mata dengan T-Team kini menduduki tangga kedua Kumpulan D hasil perbezaan gol - tiga mata di belakang Kuala Lumpur yang kini selesa mengutip enam mata maksimum menerusi dua kemenangan berturut-turut.
Selangor akan membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur di Stadium Selayang malam esok sebelum melayan kunjungan T-Team di Stadium Shah Alam Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment