Wednesday, 12 October 2011

Chong Wei tiada tandingan


CHONG WEI tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan pada pusingan pertama semalam.

JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ternyata tiada tandingan apabila mudah menewaskan dua lawannya pada aksi peringkat Kumpulan A Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Akhir Kebangsaan semalam.

Tampil selaku pemain pilihan pertama kejohanan, pemain No. 1 dunia itu membuka tirai saingan dengan kemenangan bergaya ke atas Chong Yee Han 21-12, 21-8 pada aksi yang berlangsung di sebelah pagi di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Chong Wei terus mengukuhkan cengkamannya bagi saingan peringkat kumpulan apabila mencatatkan kemenangan kedua pada sebelah petang apabila menewaskan pemain pelapis kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zianuddin 21-16, 21-10.

Pemain berusia 29 tahun itu bakal mengakhiri saingan peringkat kumpulan menentang Lok Chong Chieh hari ini.

Kejohanan kali ini merupakan aksi terakhir buat Chong Wei dalam saingan peringkat tempatan kerana ingin memberi laluan kepada pemain-pemain lain untuk turut mengukir nama sekali gus ditengahkan ke pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, Chong Wei telah sembilan kali bergelar juara GP Kebangsaan sejak 2002 dan kali ini dia memburu gelaran ke-10 sebelum menamatkan kariernya dalam kejohanan tempatan.

"Ini merupakan kejohanan tempatan yang terakhir buat saya dan matlamat utama saya adalah untuk merekodkan kejuaraan kali ke-10 tahun ini.

"Selepas ini saya hanya akan menumpukan tumpuannya saya sepenuhnya terhadap Sukan Olimpik 2012 di London," kata Chong Wei.

Sementara itu, dalam saingan peringkat Kumpulan B, pemain pelapis kebangsaan, Misbun Ramdan Misbun turut tampil cemerlang apabila melepas halangan dua lawannya semalam.

Ramadan yang juga merupakan anak kepada bekas jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek mudah membenan cabaran Yeoh Kay Bin 21-10, 21-12 pada aksi pertamanya di sebelah pagi.

Rentak kecemerlangan Ramdan diteruskan apabila dia mencatatkan kemenangan ke atas Goh Giap Chin 21-11, 21-15.

Pencabar Ramdan dalam peringkat Kumpulan C, Mohd. Arif Abdul Latif juga membuktikan kejaguhannya apabila membenam cabaran Kay Bin 21-12, 21-14 sebelum menang ke atas Giap Chin 21-18, 21-16.

Ramdan dan Arif bakal membuat perhintungan sesama sendiri hari ini dan bakal menentukan siapa yang layak untuk bergelar juara Kumpulan C dan sekaligus mara ke peringkat separuh akhir esok.

Turut berlangsung semalam adalah saingan dalam acara beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

No comments:

Post a Comment