Monday, 10 October 2011

Selangor perlu waspada


MOHD. FAILEE menjadi sandaran utama Perak untuk merobek gawang Selangor pada
pertemuan di Stadium Shah Alam malam ini.


JIKA tersilap langkah, Selangor pasti tersungkur di depan ribuan penyokong sendiri pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Perak di Stadium Shah Alam malam ini.

Momentum kejayaan menempah slot suku kelompok lapan terbaik pada saat-saat akhir perlu diteruskan skuad Gergasi Merah bimbingan P. Maniam bagi memburu bekalan selesa sebelum berkunjung ke Ipoh pada Jumaat depan.

Apa yang pasti, kelibat pemain ‘import’ skuad Seladang, Mohd. Failee Mohd. Ghazli yang dipinjamkan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) wajib dirantai sekiranya tidak mahu berputih mata.

Kredibiliti penyerang yang cukup cemerlang menjaringkan beberapa gol bersama rakan sepasukan, Mohd. Shafiq Jamal bagi membantu Perak mengharungi saingan peringkat kumpulan sebelum ini dilihat mampu menghadirkan sesuatu buat pasukan kendalian Norizan Bakar.

Apa tidaknya, Mohd. Failee yang berjaya menjaringkan 11 gol bersama USM dalam saingan Liga Perdana musim ini dilihat cukup serasi bersama dua lagi pemain ‘import’ Perak, Mohd. Hafiszuan Salehuddin (Perlis) dan Muhammad Rafiuddin Roddin (Harimau Muda) bagi membantu Seladang yang kehilangan lima tonggak utama gara-gara penggantungan sebelum ini.

“Perak dilihat cukup kuat bermain sebagai satu pasukan terutamanya di bahagian sayap.

“Justeru, pemain Selangor diingatkan supaya tidak mudah leka bagi mengelak perjalanan sukar di Ipoh jika gagal mencatatkan kemenangan selesa di Shah Alam,” kata Maniam.

Maniam kini masih belum menemui barisan mantap di bahagian pertahanan lantaran tonggak, Khairul Anuar Baharom dilihat masih belum cergas sepenuhnya manakala gandingan Mohd. Nasriq Baharom, Mohd. Nazri Ahmad dan Yosri Derma Raju juga dilihat masih belum berupaya memastikan kubu Selangor terselamat.

Ketika tugas menjaga gawang hampir pasti digalas G. Jeevananthan, P. Gunalan dan Razman Roslan juga dijangka mendapat kepercayaan di posisi bek kiri dan kanan.

Kredibiliti kapten, Amri Yahyah yang dilihat semakin berbisa apabila sering menghasilkan gol buat Selangor di peringkat kumpulan juga ditagih bersama arkitek berbakat, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal bagi merobek kubu pasukan Perak.

No comments:

Post a Comment