GREYSON bukan sahaja mempunyai vokal yang baik, tetapi juga boleh bermain alat muzik.
SEKADAR ingin membuktikan kehebatan bermain piano sambil menyanyi kepada kawan-kawannya pada tahun 2009, Greyson Michael Chance, 14, tidak sesekali menyangka videonya sewaktu membuat persembahan di sekolah ditonton lebih 300,000 orang di laman YouTube selepas dua hari dimuat naik.
Tambah mendebarkan selepas seminggu videonya yang menyanyikan lagu Paparazzi (nyanyian asal Lady Gaga) memperoleh lebih 2 juta tontonan dan kini videonya itu mendapat hit sebanyak 44 juta dan angkanya kian bertambah.
“Saya tidak suka melihat diri sendiri menyanyi, sampailah saya terkejut dan tidak menyangka video yang saya muat naik di YouTube ditonton sebegitu ramai,” katanya ketika pertemuan kali pertama di hotel JW Marriot, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Akademik atau karier
Kehadirannya ke Malaysia selama seminggu dari 11 hingga 17 November ini untuk mempromosikan album terbaharunya berjudul Hold On ‘Till The Night telah direalisasikan oleh Tunetalk Mobile Prepaid dan Universal Music Malaysia.
Maka, kesempatan bersua dengan bintang sensasi YouTube ini sedikit sebanyak membuka peluang mencari sisi lain dalam diri remaja kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat itu.
Bagi figura yang terpaksa berdepan dengan dua prioriti iaitu belajar dan berkarier, pasti ada perancangan tersendiri untuk memastikan kedua-duanya berjalan sealiran.
“Saya suka matematik dan mengembara, dalam pada saya sibuk dengan promosi album dan sebagainya saya terpaksa mempunyai tutor peribadi dan sekolah dalam talian.
PEMINAT setia Greyson hadir bersama kata-kata semangat yang dicatat pada sepanduk.
Dia tidak mudah melatah apabila ada ketikanya dia disamakan dengan Justin Bieber memandangkan popularitinya turut dirangsang atas faktor YouTube.
“Saya dan Bieber kawan rapat, kami ada aliran muzik yang berbeza malah suaranya juga tidak kurang hebatnya,” tegasnya yang menghasilkan album mengambil inspirasi daripada grup Paramore.
Teman YouTube
Berbicara mengenai album sulungnya yang memuatkan 11 buah lagu dan separuh daripadanya ditulis sendiri oleh Greyson, katanya menulis lirik lagu menjadi impiannya dari awal lagi.
“Saya ingin jadi seorang artis serba boleh dan berjaya, semahunya itu impian yang ingin dicapai 10 tahun lagi,” tuturnya yang menggemari lagu Take A Look At Me Now dalam albumnya.
Seandainya diberikan pilihan untuk berduet dalam album, Greyson juga sudah punyai senarai sendiri.
“Saya teringin untuk berduet dengan Lady Gaga kerana dia seorang yang unik dan tidak normal, penyanyi berbakat besar Charice Pempengco dan Bruno Mars,” singkapnya yang melabelkan diri sebagai kelakar dan berani.
Dalam pada itu, Greyson benar-benar teruja saat dipertemukan dengan bintang YouTube tanah air, Najwa Latif untuk sesi latihan menjelang Anugerah Industri Muzik (AIM 18) baru-baru ini.
“Dia manis orangnya dan saya kagumi bakat yang dia ada, sebelum ini saya cuma melihatnya di YouTube dan akhirnya sekarang dapat berduet dengannya,” katanya yang menyanyikan medley lagu Waiting Outside The Lines dan Paparazzi bersama Najwa Latif ketika AIM 18 pada hari Sabtu lalu.
No comments:
Post a Comment