Tuesday, 1 November 2011

'Saya tidak pernah rasa kecil hati'

MASA depan jurulatih Selangor, P. Maniam (gambar) mula mencetuskan tanda tanya sebaik bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan menerima tawaran mengendalikan skuad Gergasi Merah itu musim depan.

Walaupun berjaya membantu Gergasi Merah layak ke separuh akhir Piala Malaysia sebaik mengambil alih 'baton' daripada K. Devan, mahu tidak mahu Maniam terpaksa berundur kali ini bagi memberi giliran kepada Irfan Bakti pula bagi menduduki 'kerusi panas' itu.

Menurut Maniam, ketika ini beliau masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kedudukannya dalam pasukan Selangor.

"Saya belum menerima apa-apa pengesahan lagi, jadi saya enggan meng- ulas lanjut mengenai perkara ini.
"Namun, jika benar Irfan yang menjadi jurulatih, saya sedikit pun tidak berkecil hati," katanya kepada Kosmo!

Nama Maniam, 43, mula meniti di bibir peminat fanatik Merah Kuning apabila berjaya membantu pasukan itu layak ke pusingan kalah mati setelah Devan 'angkat kaki' semasa Sela- ngor terkapai-kapai di peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Selain berjaya memintas Kuala Lumpur pada saat-saat akhir, strategi Maniam yang menukar formasi Selangor kepada 4-3-3 berbanding 4-4-2 ketika zaman Devan juga ternyata menjadi.

Devan ketika ini dikhabarkan dikaitkan dengan Johor FC, manakala kekosongan Irfan Bakti di Terengganu akan diisi oleh bekas jurulatih pasu- kan itu, Mat Zan Mat Aris.

Mengulas lanjut, Maniam yang merupakan tonggak pertahanan Gergasi Merah pada era 1990-an memberitahu, beliau tidak mempunyai masalah jika kembali menggalas tugas selaku penolong jurulatih seperti mana ketika pasukannya masih bersama Devan sebelum ini.

"Jiwa dan raga saya memang bersama Selangor sejak dahulu lagi, saya sayangkan pasukan ini," katanya.
"Justeru, saya menghormati keputusan pihak pengurusan seandainya kembali menjadi penolong jurulatih. Bagi saya, ia bukannya satu isu besar."

No comments:

Post a Comment