Monday, 17 October 2011

Selangor tanpa Amri


AMRI (kiri) terpaksa berehat seminggu akibat kecederaan.

SELANGOR terpaksa mengenepikan kapten, Mohd. Amri Yahyah menjelang pertemuan menentang Terengganu pada aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia 2011 di Stadium Shah Alam malam ini.

Ini kerana, bekas penyerang kebangsaan itu masih belum pulih daripada masalah kecederaan di bahagian lutut kanannya yang dialami ketika berdepan Perak pada aksi suku akhir kedua di Stadium Perak, Jumaat lalu.

Jurulatih Selangor, P. Maniam yang mengesahkan mengenai perkara tersebut berkata, hasil ujian imbasan yang dilakukan semalam mendapati Amri mengalami Medial Collateral Ligament (MCL) dan perlu berehat untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum boleh kembali diturunkan.

"Kami (Selangor) terpaksa mengenepikan khidmat Amri. Atas nasihat daripada doktor dia perlu berehat sekurang-kurangnya selama seminggu sebelum boleh kembali beraksi.

"Itu pun bergantung terhadap proses pemulihannya. Jika semuanya berjalan dengan lancar dia mungkin boleh diturunkan kembali pada separuh akhir kedua di Kuala Terengganu nanti," kata Maniam ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, Maniam enggan menekan butang panik apabila kehilangan khidmat tonggak serangan utamanya itu kerana beliau kini sudah memiliki dua calon yang dilihat mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Amri.

Jelas Maniam, tanpa Amri, beliau kemungkinan akan mempertaruhkan kepercayaan kepada dua bekas penye- rang kebangsaan, Rudie Ramli dan Azidan Sarudin bagi menerajui jentera serangan skuad Gergasi Merah.

"Saya sudah cuba Rudie dan Azidan ketika sesi latihan hari ini (semalam) dan antara mereka berdua akan menggantikan tempat Amri tetapi aya hanya akan membuat keputusan sebelum perlawanan bermula.

"Apa yang saya harapkan, siapa bakal diturunkan nanti boleh beraksi dengan baik dan menjaringkan gol buat pasukan," jelas Maniam.

Dalam pada itu, beliau turut meng- ingatkan empat barisan pemain pertahanannya agar memberi tumpuan sepenuhnya pada pertemuan menentang Terengganu itu.

Bagi Maniam, Terengganu memiliki jentera serangan yang bijak mencipta peluang bagi menjaringkan gol apatah lagi pengendali mereka, Irfan Bakti mempunyai pengalaman luas dalam mengatur strategi perlawanan.
"Kami memang mahu mencatatkan kemenangan pada perlawanan esok (malam ini) apatah lagi beraksi di laman sendiri.

"Namun, dalam keghairahan mencari gol, benteng pertahanan kami juga perlu kekal fokus bagi mengekang segala asakan daripada jentera serangan Terengganu yang bila-bila masa boleh mengudang padah kepada kami," tambah Maniam.

Beliau dijangka bakal menurunkan empat pertahanan yang sama ketika berdepan Perak iaitu Mohd. Nasriq Baharom, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd Razman Roslan dan P. Gunalan.

No comments:

Post a Comment