Sunday, 20 November 2011

Gol tunggal Fakri julang Malaysia

Jaringan tunggal Ahmad Fakri Saarani memastikan Harimau Muda mara ke final acara bola sepak Sukan SEA 2011 hasil kemenangan 1-0 ke atas Myanmar pada aksi separuh akhir di Stadium Gelora Bung Karno semalam.

Ketika perlawanan seakan-akan berlanjutan hingga masa tambahan, Fakri menggembira kem Harimau Muda apabila berjaya merobek gawang Myanmar pada minit ke-85.

Menerusi satu serangan balas di sebelah kanan pintu gol Myanmar, penyerang gantian, Izzaq Faris Ramlan berjaya melakukan hantaran lintang sebelum disudahkan Fakri.

Gol tunggal perlawanan itu memadai buat Harimau Muda beraksi di pentas final esok dan akan membuat perhitungan dengan Indonesia yang menewaskan Vietnam 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir semalam.

Pada aksi semalam, Harimau Muda beraksi 'tanpa' kelibat jurulatih, Ong Kim Swee yang terpaksa berada di bangku penonton kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.

Kim Swee dikenakan hukuman tersebut selepas beliau diarahkan meninggalkan padang ketika Harimau Muda menang 1-0 ke atas Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan A, Khamis lalu.

Biarpun Kim Swee tidak berada di tepi padang, barisan Harimau Malaya masih mampu bergerak sebagai satu unit yang ampuh dengan 'sentuhan' pembantu jurulatih, Hassan Sazali.

Kim Swee hanya membuat sedikit rombakan apabila menyenaraikan Fakri dalam kesebelasan utama manakala Syahrul Azwari Ibrahim mengisi tempat Wan Zaharul Nizam.

Sebaik wisel permulaan ditiup pengadil dari Korea Utara, Kao Jung-Fang, kedua-dua pasukan dilihat menampilkan corak permainan dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu lawan masing-masing.

Seawal minit kelima, Syahrul Azwari Ibrahim dan Irfan Fazail terlebih dahulu menguji benteng Myanmar yang diterajui penjaga gol, Thihasthu.

Pada minit ke-35, sepakan percuma yang diambil kapten Harimau Muda, Baddrol Bakhtiar pula melepasi palang gol.

Nasib malang menimpa Baddrol apabila dilayangkan kad kuning selepas melakukan kekasaran terhadap Shwe Hlaing Win pada minit ke-45.

Sebaik babak kedua bersambung, Harimau Muda terus menggempur kubu Myanmar dengan larian deras daripada Syahrul Azwari di sebelah kiri pintu gol lawan.

Pada minit ke-56, tandukan Fakri sedikit melewati palang gol manakala rembatan Mohd. Fandi Othman empat minit kemudian berjaya dinafikan Thihasthu.

Dalam tempoh 20 minit terakhir babak kedua, barisan Harimau Muda lebih banyak mendominasi perlawanan dengan melancarkan beberapa percubaan merbahaya ke kubu Myanmar.

Hasilnya, Fakri berjaya menggempur kubu lawan hasil hantaran lintang Izzaq dari sebelah kanan pintu gol Myanmar pada minit ke-85.

No comments:

Post a Comment