
WAN ZACK (jersi biru) bakal diberi tanggungjawab mengetuai jentera serangan skuad Olimpik pada aksi menentang Jepun, Rabu depan.
APA agaknya yang bermain di fikiran pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee menjelang pertemuan menentang Jepun pada aksi Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Tosu, Rabu depan?
Meskipun masih berteka-teki mengenai kesebelasan utama yang bakal membawa cabaran skuad negara, Kim Swee membayangkan kecenderungan menurunkan pemain lebih berpengalaman dalam pertemuan itu.
Ia diakui sendiri oleh Kim Swee yang belum pasti mahu menurunkan perancang berusia 17 tahun, Mohd. Nazmi Faiz Mansor meskipun pemain itu mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Oman dalam aksi persahabatan yang berkesudahan tewas tipis 1-0 di Stadium UiTM, Shah Alam petang kelmarin.
Menurut Kim Swee, pengalaman pemain sememangnya salah satu formula terbaik yang ditagihnya bagi menyerap tekanan Jepun yang ketika ini jelas berada di kelas berbeza berbanding skuad negara.
"Kita harus sedar bahawa Mohd. Nazmi masih muda. Masanya untuk berada dalam kesebelasan utama akan tiba, namun bukan sekarang.
"Malah, saya juga yakin sekiranya aksi positif ketika menentang Oman, terutamanya pada separuh masa kedua berjaya dikekalkan pemain, tidak mustahil kita berjaya mengejutkan Jepun kelak," katanya selepas perlawanan kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Mohd. Nazmi yang masuk menggantikan K. Gurusamy pada babak kedua, berjaya membentuk persefahaman mantap bersama Abdul Shukor Jusoh dalam menjana pergerakan dari bahagian tengah padang sebelum terpaksa akur dengan kehebatan Oman yang juga juara Piala Teluk bawah 23 tahun hasil jaringan Hussain Ali Al Hadri pada minit ke-41.
Skuad Olimpik negara telah berlepas ke Jepun pagi semalam bagi mengadakan perhitungan dengan 'Negara Matahari Terbit' itu di Stadium Tosu sebelum menentang Syria dan bertemu Bahrain selepas itu.
Dalam masa sama, mereka juga akan menggalas tanggungjawab mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Indonesia, November depan.
Pemergian skuad Olimpik ke Jepun bagaimanapun tidak disertai oleh lima pemain iaitu Nazirul Naim Che Hassim, Ferris Danial Mat Nasir, Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Muhd. Zamir Selamat dan K. Ruben yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan serta prestasi yang kurang memberangsangkan.
Dalam pada itu, Abdul Shukor memberitahu, dia tidak kisah sama ada akan bergandingan bersama Gurusamy ataupun Mohd. Nazmi, terpulang kepada corak taktikal yang akan diterapkan Kim Swee semasa menentang Jepun kelak.
"Saya memang serasi beraksi bersama Gurusamy dan Mohd. Nazmi, justeru kami akan mencuba yang terbaik untuk sekurang-kurangnya seri di Stadium Tosu nanti," katanya.
Seorang lagi tonggak negara, Irfan Fazail yang sebelum ini menimba pengalaman bersama kelab Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate juga mahu membuktikan bahawa mereka mampu memberikan saingan kepada Jepun yang turut diperkuatkan dengan bintang muda Arsenal, Ryo Miyaichi.
No comments:
Post a Comment