Tuesday, 27 September 2011

Malam penentuan Gergasi Merah

MANIAM (depan) menuntut komitment seratus peratus daripada barisan pemainnya pada aksi menentang KL malam ini.

MALAM ini merupakan detik penentu buat juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor bagi meneruskan kemaraan pada edisi Piala Malaysia kali ini.

Bakal membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, hanya kemenangan sahaja mampu menjamin kedudukan mereka ke suku akhir bagi memintas kedudukan pasukan warga kota pada saat-saat akhir.

Hanya mengutip tujuh mata dalam lima perlawanan terdahulu, anak-anak buah P. Maniam pastinya sedar apa yang perlu dilakukan bagi menidakkan cabaran Helang yang kini memiliki kelebihan dua mata.

Lulus ujian pertama ketika menang 4-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabtu lalu sebaik mengambil alih 'baton' daripada K. Devan juga belum tentu menjamin kemenangan Maniam dalam aksi malam ini.

“Tekanan sememangnya dirasai memandangkan kami benar-benar memerlukan kemenangan.

“Justeru, saya harap pemain dapat mempamerkan aksi terbaik serta matang di tengah padang sekali gus mencerahkan peluang meraih tiga mata berharga buat Selangor,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Maniam dijangka mengekalkan formasi 4-3-3 yang dilakukannya semasa membenam cabaran PDRM sebelum ini apabila Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim dan kapten, Amri Yahyah dijangka mengetuai jentera serangan Gergasi Merah.

Kredibiliti pemain supersub, Rudie Ramli bersama sentuhan beberapa pemain simpanan seperti Nazri Ahmad, Bunyamin Omar dan Azidan Sarudin juga ditagih pengendali berusia 43 tahun itu lantaran masih belum pasti mengenai kecederaan dua tonggak utama, Hardi Jaafar dan Nasriq Baharom yang dikhabarkan masih belum cergas sepenuhnya.

Kelibat ayam tambatan skuad Helang, Ahmad Hazwan Bakri dan Yong Kuong Yong juga harus berterusan bagi mengelak mereka daripada berputih mata di depan penyokong fanatik Merah Kuning yang dijangka kembali menguasai Stadium Shah Alam malam ini.

Menurut Maniam, belum tiba masanya bagi beliau memikirkan lawan mereka di suku akhir kelak iaitu juara Kumpulan A, Perak lantaran satu lagi pasukan dalam Kumpulan D, T-Team dilihat telah mengesahkan slot di suku akhir.

“Kita fikirkan perlawanan menentang Kuala Lumpur terlebih dahulu esok (malam ini). Kami mesti menang dan selepas itu baru fikir tentang lawan di suku akhir,” katanya.

No comments:

Post a Comment