Monday, 12 September 2011

Kebangkitan wira bola sepak


RAZALI menganggap pemilihan Safee dan Safiq untuk menjalani latihan dengan Cardiff City sebagai permulaan kebangkitan bola sepak negara.

SETELAH dunia bola sepak ketandusan sekian lama pemain yang mampu diangkat sebagai wira, Mohd. Safee Mohd. Sali dan Safiq Rahim kini boleh dilabelkan dengan gelaran tersebut.

Biarpun hanya diberi peluang menjalani latihan pemilihan bersama kelab di England, Cardiff City, kedua-dua pemain skuad Harimau Malaya itu membuka lembaran baru dalam lapangan bola sepak negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan penggempur berbisa dan kapten skuad Harimau Malaya itu adalah batu loncatan dalam perkembangan bola sepak negara yang sekian lama sepi daripada pencapaian gemilang.

Sebelum ini ujarnya, kancah bola sepak tempatan ketandusan pemain yang boleh diangkat sebagai legenda selepas pemergian Mokhtar Dahari yang disanjung tinggi oleh peminat tanah air.

“Kejayaan yang dicapai tersebut mampu menyemarakkan semangat anak-anak muda di negara ini untuk mencebur diri dalam sukan tersebut yang mempunyai masa depan yang cerah.

“Saya bukan nak bebankan Safee dan Safiq dalam hal ini tetapi mereka berdua memang fenomena baharu anak muda sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Eksekutif Penjawat Awam Muda – Saya Yang Menurut Perintah di Institut Tadbiran Awam Negara, Kuala Lumpur semalam.

Kelmarin, Safee berlepas ke bumi England untuk menjalani latihan pemilihan selama dua minggu bersama Cardiff City selepas mendapat pelepasan daripada kelabnya di Indonesia, Pelita Jaya
Selain Safee, rakan sepasukannya dalam Harimau Malaya, Safiq juga akan bersama dalam sesi pemilihan itu pada penghujung bulan depan.

Beliau mengakui kesukaran pada bola sepak negara untuk mencari pengganti Mokhtar, namun untuk anak muda, mereka memerlukan rol model yang boleh diangkat sebagai wira.

Memberi contoh pemain Korea Selatan, Park Ji-sung yang mencipta nama di Manchester United, beliau berkata, sokongan anak muda akan terus subur dan bertambah dalam memastikan keghairahan dunia bola sepak tanah air tidak akan terhenti.

“Saya percaya mereka mampu memikul tugas berat ini.”

No comments:

Post a Comment